Sah Menjadi Suami Isteri @ 05.06.09

Friday, June 5, 2009 | |

Alhamdulillah, syukur kepada Allah S.W.T. kerana kami telah selamat diijabkabulkan. Dengan sekali lafaz sahaja maka telah sah kami berdua bergelar suami isteri.

Bila teringat kembali, aku tersenyum kerana saat mula-mula aku masuk ke pintu rumah, semua mata memandang padaku. Ketika ini dapat lagi aku mengawal perasaan gemuruhku. Tatkala aku duduk di atas bantal, aku cuma memerhatikan keadaan sekeliling, dapat kulihat dari wajah bakal bapa mentuaku yang mula kegelisahan, maklumlah ini kali pertama dia menerima menantu. Dan bila semua telah berkumpul, saat tok kadi memberi sedikit ucapan, aku masih dapat mengawal perasaan gementar ku. Tapi bila saat aku menggenggam tangan bapa menrtuaku, terasa tangannya yang menggigil. Dan dengan tak semena-mena, disebabkan tangan bapa mentuaku yang menggigil dengan tanganku sekali mengikut rentak gigilan bapa mentuaku. Aduh, elok-elok aku dapat mengontrol macho tak menggigil, disebabkan tangan bapa mentuaku, dengan aku sekali menggigil. Saat bapa mentuaku melafazkan lafaz nikah, tak semena-mena saksi menyuruhnya berhenti, kerana dia suruh bapa mentuaku perlahankan sikit lafaz, jangan laju macam keretapi. Kali kedua bapa mentuaku melafazkan lafaz nikah, tak sempat aku menjawab ya saat namaku dipanggil. Melihat tok kadi dan saksi meneruskan sahaja, kusambung lafaz nikah selepas bapa mentuaku dengan sekali lafaz, “Aku terima nikah Nor Azreen Binti Zaharin dengan mas kahwin RM200 tunai”, maka dengan sekali lafaz, dan disahkan oleh dua orang saksi, maka sahlah kami bergelar suami isteri…