Awal Muharram 1431H

Friday, December 18, 2009 | |

Selamat Menyambut Awal Muharram 1431H
1 Muharram 1431H | 18 Disember 2009

Doa Akhir Tahun
"Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Segala puji itu bagi Allah, Tuhan Pentadbir seluruh Alam. Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W. serta keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah wahai Tuhan kami, perkara-perkara yang telah kami lakukan daripada perbuatan-perbuatan yang Engkau larang dalam tahun ini maka kami belum bertaubat daripadanya padahal Engkau tiada meredhai dan Engkau memang tiada lupakannya (Tuhan tiada bersifat lupa) dan Engkau berlembut tiada mengazabkan kami malah memberi peluang supaya kami bertaubat selepas kami menceburkan diri melakukan maksiat itu. Maka kami sekalian mohon keampunan-Mu. Ya Allah, ampunilah kami dan mana-mana perbuatan yang telah kami lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhai dan yang telah Engkau janjikan ganjaran pahalanya. Maka kami mohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah kami lakukan itu dan Engkau tidak-menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah."

Doa Awal Tahun
"Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan sekalian Alam. Rahmat dan sejahtera atas Penghulu kami Nabi Muhammad S.A.W. dan atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian. Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang kekal selama-lamanya, sedia ada, tiada permulaan. Kelebihan-Mu Maha Besar dan kemurahan-Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, kami mohon kepada-Mu agar terpelihara kami sekalian di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga daripada kuncu-kuncu syaitan dan bala tenteranya. Dan kami mohon daripada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtutan nafsu amarah (Nafsu yang mendorong kepada kejahatan). Kami mohon juga kepada-Mu Ya Allah akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diri kami kepada-Mu. Ya Allah Tuhan Yang Maha Agung Lagi Mulia. Ya Allah Tuhan yang sebaik-baik yang mengurniakan rahmat."